Anda Ingin Menjual Proton ataupun Mercedes-Benz?

Dalam menjual produk–produk di pasaran,  setiap pelanggan mempunyai dimensi masing-masing. Dimensi ini boleh diukur melalui taraf pendapatan pelanggan ataupun pembeli itu sendiri. Apabila seseorang pelanggan itu mempunyai pendapatan yang rendah, sudah tentu dia ingin membeli produk yang bersepadan dengan pendapatannya. Apabila seseorang itu mempunyai pendapatan tinggi, sudah tentu dia sanggup membeli barangan yang mahal walaupun dia boleh mendapatkan barang yang lebih murah dari itu.

Analogi ini boleh diterjemahkan dalam pembeliaan kereta. Seseorang yang berpendapatan rendah sudah tentu hanya mampu menaiki kereta Proton sahaja untuk kegunaan seharian. Manakala orang-orang kaya sudah tentu mampu memiliki kereta Mercedes untuk kegunaan seharian mereka walaupun mereka boleh memiliki kereta Proton ataupun memiliki kedua-dua model kereta ini sekaligus.

Jika dilihat dari sudut keuntungan, sudah tentu pasaran kereta Proton mempunyai segmen pelanggan yang lebih besar daripada pasaran kereta Mercedes itu sendiri. Tetapi, keuntungan jualan setiap kereta Proton itu sedikit berbanding kereta Mercedes Benz. Keuntungan sebuah hasil pembelian kereta Mercedes Benz sudah tentu menyamai beberapa buah ataupun berbelas-belas kereta Proton Saga. Harga sebuah kereta Mercedes-Benz mungkin mencecah RM400,000 tetapi harga sebuah kereta Proton Saga hanya RM40,000.

Masyarakat mungkin tidak mampu untuk memiliki kereta Mercedes-Benz. Akan tetapi, apabila seseorang membeli kereta berjenama eksklusif ini keuntungan berganda dapat diraih walaupun pembelinya sukar dicari tetapi ianya tetap ada dalam masyarakat.

Itulah yang ingin saya cuba kaitkan apabila saya atau anda sendiri yang sedang terlibat dalam industri bisnes buku. Dalam industri buku, banyak syarikat penerbitan sedia ada yang mampu menjual buku dengan harga yang sangat murah. Mereka mampu menjual harga buku dengan sangat murah kerana mereka boleh mencetak buku dengan kuantiti yang banyak pada satu-satu masa. Berbanding dengan penerbit-penerbit kecil, kita sudah tentu tidak mempunyai modal yang besar untuk mencetak dengan kuantiti yang banyak.

Kita sebagai pemain baru dalam industri buku sudah tentu tidak mampu untuk bersaing dengan penerbit-penerbit besar ini dari sudut harga buku. Apa yang kita mampu ialah menyediakan produk-produk yang mahal kepada pelanggan. Tidak lain dan tidak bukan ialah sasaran pembeli buku-buku kita ialah orang-orang kaya ataupun orang yang berpendapatan tinggi.

Inilah yang saya maksudkan iaitu pelanggan-pelanggan yang bertaraf ‘Mercedes-Benz’ yang akan membeli produk-produk buku kita yang mahal. Mereka ini tetap ada dalam masyarakat tetapi skalanya agak kecil.

Untuk membina kepercayaan orang ramai agar membeli produk buku kita yang mahal ini, sudah tentu kualiti produk yang perlu kita jaga agar mereka berasa berbaloi untuk memiliki buku kita ini walaupun ianya mahal.

Untuk menghasilkan buku yang baik dan mahal, sudah tentu kita memerlukan designer yang berpengalaman dan juga editor yang juga berpengalaman. Kita tidak boleh mendapatkan khidmat-khidmat editor atau designer yang cap ayam yang boleh dicari melalui google kerana kita ingin bersaing dengan syarikat-syarikat penerbitan buku di luar sana semata-mata untuk mendapatkan harga yang murah.

Inilah yang berlaku kepada saya apabila saya ingin dan berjaya menerbitkan buku kedua saya iaitu ‘Peperangan Terakhir Uthmaniyah : Runtuhnya Sebuah Institusi & Tinggalannya di Alam Melayu’. Untuk menghasilkan karya yang baik untuk tatapan orang ramai, saya mendapatkan khidmat designer syarikat grafik untuk membuat buku yang berwarna-warni. Keterujaan buku ini juga ditambah apabila saya menyisipkan gambar-gambar sepanjang pengembaraan ke Turki di dalam buku ini. Ini penting bagi saya agar para pelanggan berasa berbaloi apabila membeli buku ini walaupun ianya mahal.

Ada baiknya anda mempunyai target pasaran atau pengguna sendiri apabila mengeluarkan sendiri produk-produk anda. Ini adalah penting untuk anda bagi membuat target jualan atau keuntungan dan lebih penting lagi ialah untuk memastikan syarikat anda yang berdaftar dengan SSM terus survive.

Wallahua’lam.

 

 

Briged al-Qasam – Telahan Saya Betul

Apabila saya melihat pasukan Briged al-Qasam yang bertopeng, saya fikir sudah tentu mereka takut kepada tentera-tentera Yahudi yang akan mencari mereka kerana menentang tentera zionis itu.

Kemudian, saya membaca tular tentera Briged al-Qasam yang kononnya mereka bertopeng kerana tidak mahu riak. Saya fikir saya silap. Ada benarnya kerana tidak mahu riak. Ah, saya biarkan sahaja perkara yang bermain-main dalam fikiran saya ini.

Setelah saya mendengar ceramah Ustaz Azhar di dalam Youtube, telahan saya ini benar mengenai Briged al-Qasam. Ya, memang benar mereka bertopeng kerana bimbang dengan mata-mata bangsa Yahudi yang akan mencari mereka. Bukannya kerana takut riak sepertimana ditularkan. Tambahan pula dalam sejarah Islam sekalipun tiada tentera Islam yang bertopeng kerana takut riak seperti dalam Perang Badar dan sebagainya.

Wallahua’lam.

Apabila Dr. Mahathir dibaling dengan Kasut

Apabila seseorang pemimpin atau bekas pemimpin dibaling kasut oleh rakyat, ini bermakna maruah seorang pemimpin itu sudah dicabar oleh rakyat atau seseorang.

Inilah yang berlaku kepada Dr. Mahathir. Bagaimana seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia boleh dibaling dengan kasut. Dimanakah maruah seorang negarawan ini?

Ini mengingatkan kita bagaimana George W. Bush dibaling kasut oleh seorang wartawan Iraq kerana Amerika Syarikat telah menjajah negaranya. Inilah kemenangan moral yang diraih rakyat Iraq apabila mereka diceroboh oleh tentera Amerika Syarikat dan sekutunya.

Apa beza Mohd. Najib dan Dr. Mahathir apabila adegan bertumbuk boleh berlaku di hadapan seorang Perdana Menteri dan kasut boleh dibaling kepada bekas Perdana Menteri?

Dalam program Nothing To Hide 2.0, secara jelas Dr. Mahathir gagal menjawab pertanyaan peserta yang menyertai program tersebut mengenai Anwar Ibrahim. Umum mengetahui bahawa Anwar Ibrahim merupakan mangsa konspirasi politik oleh Dr. Mahathir ketika beliau menjadi Perdana Menteri pada tahun 1998.

Apabila seorang peserta bertanya adakah Anwar Ibrahim merupakan mangsa konspirasi akibat mainan politik Dr. Mahathir pada tahun 1998, jawapan yang diberikan oleh Dr. Mahathir adalah tidak memuaskan hati peserta dengan menyatakan bahawa Anwar Ibrahim pun tidak pernah bertanya seorang tersebut kepada beliau. Pendek kata, Dr. Mahathir gagal berterus-terang.

Masa sekarang merupakan perseteruan politik antara Dr. Mahathir dan Mohd. Najib. Janganlah kerana apabila kita mengkritik Dr. Mahathir kita dianggap sebagai pemakan dedak. Hakikatnya, Dr. Mahathir dan Mohd. Najib sama sahaja yang membawa kebobrokan kepada tanah air kita dengan cara yang tersendiri.

Wallhua’lam.

Penjajahan Jepun di Tanah Melayu : Adakah disebabkan kerjasama dengan Kerajaan Uthmaniyah?

Tulisan buku Dr. Mat Rofa Ismail iaitu Kerdipan Bintang Melayu di Langit Turki telah menimbulkan ‘kegemparan’ di Negara kita kerana buku ini menyatakan kedatangan Jepun di Tanah Melayu adalah untuk mengusir penjajah British. Bukannya dating untuk menjajah. Ini sekaligus menidakkan kebenaran sejarah rasmi Negara yang sudah tertulis di dalam buku-buku teks khususnya peringkat sekolah menengah.

Berlainan pula dengan pandangan Dr. Abdul Rahman Hj. Abdullah di dalam bukunya yang bertajuk Gerakan Penjajahan dan Anti Penjajahan Tanah Melayu 1511-1957 yang menyatakan sebaliknya yang seolah-olah tidak bersetuju dengan pandangan Dr. Mat Rofa ini.

Menurut Dr. Abdul Rahman, memang benar bahawa terdapat kerjasama antara Kerajaan Turki Uthmaniyah dan Jepun sewaktu pemerintahan Sultan Abdul Hameed II (1876-1909). Akan tetapi, kerjasama ini hanya terbatas ketika pemerintahan Sultan Abdul Hameed sahaja dan tidaklah sehingga membawa kepada pendudukan Jepun di Tanah Melayu sewaktu Perang Dunia Kedua pada tahun 1941 – 1945.

Tambah beliau lagi, faktor imperialism Kerajaan Jepun bukanlah disebabkan faktor luaran iaitu kerana kerjasama dengan Kerajaan Turki tetapi disebabkan oleh faktor dalaman Kerajaan Jepun itu sendiri untuk menjajah.

Saya fikir bahawa apa yang dikatakan oleh Dr. Abdul Rahman ada asasnya juga. Perkara ini disebabkan oleh Kerajaan Turki Uthmaniyah itu sendiri dibubarkan pada tahun 1924 sedangkan Perang Dunia Kedua tercetus yakni pada tahun 1941 – 1945. Walhal tiada usaha yang dilakukan oleh Mustafa Kamal Ataturk dengan kerajaan Jepun berhubung dengan hal ehwal umat Islam sejagat.

Wallhua’lam.